Sistem Syura Islam dan Demokrasi: Perbezaan


Berikut akan dibentangkan perbezaan antara sistem syura Islam dan demokrasi liberal Barat dari segi definisi, pemilihan pemimpin, bidang kuasa, dan juga aspek perundangan.

  • Dari Segi Definisi:
Apabila berbicara mengenai demokrasi, antara perkataan yang akan terlintas di benak kita adalah kebebasan. Ini adalah kerana sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi bakal memberikan kebebasan yang mutlak kepada rakyatnya walaupun pada hakikatnya kebebasan itu masih boleh dipertikaikan dari segi protokol dan lain-lain. Namun apabila kita merujuk kepada istilah sebenar, umumnya demokrasi adalah bermakna pemerintahan rakyat, bukannya rakyat diperintah.

Lupakan tentang istilah ‘demo-kerasi’ ataupun ‘demo-crazy’, demokrasi itu asalnya timbul daripada perkataan Greek yakni demos dan cratos yang bermaksud kuasa rakyat. Demokrasi bermakna manusia adalah penggubal undang-undang atau manusialah yang menjadi legislator. Perintis kepada sistem pemerintahan ini asalnya dipelopori oleh para pemikir Greek yang ingin mencari penyelesaian dalam urusan kehidupan seharian mereka. Kemudiannya ia dihidupkan kembali oleh para pemikir Eropah setelah konflik antara rakyat dengan pemerintah kian memuncak. Konflik ini akhirnya mencetuskan sebuah revolusi yakni rakyat yang bangkit menentang pemerintah seperti terjadinya Revolusi Perancis pada tahun 1789–1799 (Wikipedia: France Revolution).

Walaupun sistem demokrasi pada zaman Greek dahulu hanyalah terhad kepada kaum lelaki sahaja, namun konotasi demokrasi moden lazimnya merujuk kepada semua penduduk di sesebuah negara termasuklah kaum wanita. Ini membuktikan bahawa sistem demokrasi sangat mementingkan kedaulatan rakyat. Dalam sistem ini, kuasa mutlak mencipta undang-undang dalam menentukan norma-norma kehidupan bermasyarakat itu terletak di tangan rakyat. Dengan erti kata lain rakyat berhak menentukan segala-galanya walaupun rakyat itu tidak mempunyai fikiran yang waras. Undang-undang yang baik boleh dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang syaitan sekiranya ada sokongan daripada rakyat.

Berbeza dengan Islam, undang-undang ataupun syariat itu telah ditetapkan oleh Allah s.w.t mencakupi segala aspek kehidupan manusia tidak kira dari segi politik, ekonomi, mahupun sosial. Sistem syura Islam adalah suatu sistem pemerintahan yang melaksanakan syariat Allah s.w.t seperti mana yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim. Undang-undang pada Al-Quran itu tidak mungkin boleh digubal oleh sesiapa pun di atas dunia ini disebabkan oleh kesuciannya yang dipelihara oleh Allah sampai bila-bila. Sistem syura ini dimulakan sejak zaman Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dengan cara bermusyawwarah.

‘Syura’ berasal daripada perkataan ‘Al-Musyawwaratun’ atau ‘Watasyawwarun’ bererti mengutarakan pendapat (Dr. Lukman Thaib, 1995). Definisi ini jelas menunjukkan keutamaan di dalam memberikan buah fikiran ketika membahaskan sesebuah perkara. Melalui prinsip ini, peranan ummah atau rakyat Islam sangat dititikberatkan dalam perlaksanaan dan pembuatan sesuatu dasar yang berlandaskan Al-Quran.

Berbanding sistem demokrasi Barat, sistem syura Islam menjadikan keimanan yang tinggi kepada Tuhan sebagai satu prinsip yang kukuh dalam proses mentamadunkan sesebuah masyarakat. Asas negara yang bersistemkan syura itu hendaklah berlandaskan kepada kekuasaan Allah dan manusia pula ditugaskan sebagai khalifah di dalamnya. Rujukan kepada Al-Quran dan Sunnah menjadi suatu kewajiban ketika sesuatu undang-undang itu digubal atau direka.

  • Dari Segi Pemilihan Pemimpin:
Perbezaan yang paling ketara antara sistem syura dengan sistem demokrasi dapat dilihat melalui proses pemilihan pemimpin. Melalui sistem syura, pemilihan khalifah atau pemimpin adalah berdasarkan apa yang telah disarankan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran.

Menurut Al-Quran, seseorang pemimpin itu haruslah memenuhi ciri-ciri ataupun kriteria-kriteria yang tertentu untuk melayakkan diri mereka memimpin sesebuah negara. Keutamaan diberikan kepada sesiapa yang mempunyai keimanan dan ketaqwaan yang tinggi di sisi Allah S.W.T. Pemimpin ataupun dalam erti kata lain khalifah itu juga mestilah berilmu pengetahuan yang luas terutamanya dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Aspek-aspek seperti mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik serta mempunyai kemahiran dalam bidang pertahanan negara iaitu kemahiran dalam ilmu peperangan juga haruslah diberikan perhatian ketika proses pemilihan khalifah dilakukan.

Dalam konteks yang berlainan, khalifah yang dilantik melalui sistem syura itu wajiblah memimpin sesebuah negara itu berasaskan kebenaran serta menjauhi sebarang bentuk rasuah dan kebatilan. Ini selaras dengan apa yang disarankan di dalam Al-Quran yang sering menyuruh umat Islam supaya menegakkan kebenaran serta menjaga kebajikan masyarakat dengan tidak mengambil kira terhadap suara majoriti sebagai satu kemestian terutamanya dari segi pemilihan pemimpin. Firman Allah S.W.T dalam Surah Yunus ayat 32 yang bermaksud: “Maka tidak ada sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan.”

Ini jelas berlainan dengan sistem demokrasi yang menjadikan suara majoriti sebagai asas dalam pemilihan seseorang pemimpin tanpa mengambil kira aspek sahsiah, akhlak, serta keperibadian beliau. Asalkan seseorang itu dicalonkan dan mendapat sokongan majoriti daripada rakyat maka terlantiklah seorang pemimpin yang bukannya dilantik berasaskan prinsip kebenaran, malah berkemungkinan jelas menampakkan ia berasaskan kebatilan.

Sebagai contoh, pencalonan dalam sesebuah pilihanraya itu menjadi mudah untuk diperoleh sekiranya seseorang itu mempunyai harta yang banyak dan pengaruh yang besar dalam bidang-bidang yang kritikal seperti ekonomi dan lain-lain. Semua faktor ini dapat menyebabkan seseorang itu dilantik sebagai pemimpin setelah sogokan yang begitu banyak diberikan kepada rakyat berbentuk materialisma. Ini jelas menunjukkan kebatilan dan kelemahan yang terlalu nyata dari segi pemilihan pemimpin dalam sistem demokrasi.

Memanglah tidak dinafikan syarat-syarat yang diperlukan seseorang itu untuk dicalonkan bertanding dalam pilihanraya adalah seperti mempunyai latar belakang yang baik, bukan seorang yang telah disenarai hitamkan dan juga tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk jenayah ataupun pernah dipenjarakan. Akan tetapi, ia tidak menegaskan bahawa pemilihan pemimpin mestilah berasaskan kebenaran seperti mana yang disarankan dalam Al-Quran dan seterusnya menjadi tunjang kepada kepimpinan yang adil dan saksama.

Dalam sistem syura, calon-calon khalifah akan dinilai melalui mesyuarat ahli-ahli majlis syura sebelum seseorang itu dilantik menjadi khalifah. Kemudiannya, seluruh rakyat akan menilai calon yang telah ditapis oleh majlis tersebut dan mereka bebas untuk memberikan persetujuan sama ada bersetuju ataupun tidak. Hak kebebasan rakyat dapat dilihat menerusi ucapan khalifah Abu Bakar as-Siddiq seperti yang berikut: "Wahai Manusia, sesungguhnya aku telah dilantik ke atas kamu dan bukanlah aku orang yang paling baik di antara kamu. Kalau aku lemah kamu betulkanlah aku dan kalau aku berbuat baik, kamu tolonglah aku, benar itu amanah dan dusta itu khianat. Yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku, sehingga aku mengambil hak daripadanya insya`Allah ...."

Berbeza dengan sistem demokrasi, seseorang itu perlu patuh dan taat dalam semua perkara yang menjadi tuntutan rakyat apabila telah dilantik menjadi pemimpin walaupun ia melibatkan perkara-perkara yang mungkar. Keadaan yang berlawanan juga boleh berlaku. Dalam sistem demokrasi, rakyat perlu akur dengan semua arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin walaupun ia bertentangan dengan kehendak syariat selagi mana pemimpin itu memegang tampuk pemerintahannya.

  • Dari Segi Bidang Kuasa:
Dalam sistem Syura, bidang kuasa pemimpin dikawal oleh institusi kekhalifahan yakni kuasa seseorang khalifah itu terhad kuasa yang tertentu seperti yang telah termaktub dalam Al-Quran. Ini bermakna seseorang khalifah itu perlu amanah dan jujur dalam kepimpinannya, justeru adalah haram bagi khalifah tersebut untuk pecah amanah. Khalifah itu juga perlulah mempunyai ketegasan yang tinggi dalam mempertahankan syariat Allah yakni memperjuangkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

Dalam sistem demokrasi pula, seseorang pemimpin itu mempunyai bidang kuasa yang terlalu luas termasuklah menggubal hukum-hakam syariat asalkan ia dipersetujui oleh suara majoriti. Dengan kuasa seseorang pemimpin itu, suatu perkara yang haram boleh menjadi halal asalkan mendapat persetujuan rakyat. Dalam erti kata lain, bidang kuasa yang digunakan adalah berasaskan akal fikiran manusia dan mengikut logik akal semata-mata, bukannya berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Perbezaan juga sangat ketara dalam bidang kehakiman jika perbandingan dilakukan antara sistem syura dengan sistem demokrasi. Dalam sistem syura, hakim akan mengadili sesuatu perbicaraan itu berdasarkan keadilan yakni prinsip keadilan itu mestilah ditegakkan seperti yang telah dijelaskan dalam Al-Quran. Misalnya, seseorang itu akan dijatuhkan hukuman serta merta setelah disabitkan kesalahan, tiada lagi pertikaian ataupun rayuan baginya. Berlainan dengan bidang kuasa kehakiman dalam sistem demokrasi yang mana seseorang hakim itu boleh membenarkan seseorang yang bersalah dan bakal dijatuhkan hukuman untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan hukuman tersebut boleh diringankan sekiranya diluluskan oleh yang di-Pertuan Agong seperti yang berlaku di Malaysia.

Maka, prinsip keadilan dan kebenaran secara terang-terangan telah dicabuli oleh suatu sistem yang dirangka mengikut akal fikiran manusia semata-mata. Ini menunjukkan sistem syura yang diamalkan pada zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin adalah berbeza sama sekali dengan sistem demokrasi yang diamalkan pada zaman sekarang.

  • Dari Segi Perundangan:
Dari segi sistem perundangannya juga kita dapat melihat perbezaan yang jelas antara sistem syura dan system demokrasi. Perundangan dalam sistem syura adalah berdasarkan permesyuaratan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, manakala dalam sistem demokrasi pula sistem perundangannya adalah berdasarkan keperluan dan kehendak semasa asalkan mendapat sokongan atau majoriti daripada rakyat dan peraturan itu boleh berubah dari semasa ke semasa.

Sistem demokrasi moden kini mempunyai dua cabang perundangan. Peraturan yang pertama ialah peraturan tetap yang tidak menerima perubahan dan pertukaran yakni undang-undang yang berterusan dalam perlembagaan. Perubahan kandungan perlembagaan dalam peraturan pertama ini hanya akan berlaku setelah dipersetujui oleh majoriti masyarakat setempat dalam keseluruhan aspek. Peraturan yang kedua ialah peraturan yang tunduk kepada perubahan dan pertukaran yang dilakukan oleh gabungan suara majoriti di dalam sesuatu majlis kepimpinan atau dalam erti kata lain golongan yang mempunyai kewibawaan dalam politik sesebuah negara.

Apa yang pasti dalam perundangan sistem syura, Islam memandang hanya Allah S.W.T yang berhak menentukan kedudukan syari’at dalam perlembagaan yang menjadi asas kepada sesebuah pemerintahan, tidak ada orang lain yang berhak campur tangan. Politik Islam adalah berbeza dengan politik dibawa oleh sistem demokrasi dan sosialisme moden. Dalam meletakkan undang-undang di tempat yang sepatutnya atau menggubal isi kandungannya, pertimbangan yang dilakukan oleh majlis syura adalah berdasarkan suara majoriti yang di terima oleh Islam. Syura dalam Islam bukanlah sekadar menyelesaikan segala persoalan yang melibatkan pemerintahan dan pentadbiran semata-mata, bahkan Islam juga sangat menekankan kepada kebenaran yakni membataskan kebenaran dengan kebatilan di dalam bahagian system yang berubah, bukan sekadar untuk menyenangkan manusia yang mempunyai pendapat yang berbeza dalam pemerintahan Islam.

Apa yang menjadi persoalan di sini ialah adakah Islam juga mengambil kira prinsip kedaulatan rakyat dan jika tidak, apakah yang menjadi gaya pemikiran politik bagi sesebuah negara Islam? Bagi menjawab persoalan ini adalah baik untuk kita merujuk kepada huraian seorang sarjana Islam iaitu Al-Maududi yang lebih arif dalam konsep kenegaraan dalam Islam. Al-Maududi pernah berkata: "Istilah yang lebih tepat mengenai sistem politik Islam ialah negara ketuhanan yang digelar ‘teokrasi’ dalam bahasa Inggeris". Menurut beliau teokrasi di dalam sesebuah negara Islam bukanlah bermaksud mengagungkan sesuatu kuasa seperti yang dilakukan oleh paderi-paderi zaman Eropah Lama yang memerintah secara paksaan mirip kepada kekuasaan syaitan. Menurut Al-Maududi, istilah teo-demokrasi adalah lebih tepat bagi menggambarkan bagaimanakah sesebuah negara Islam itu terhasil. Ini adalah kerana di dalam sesebuah negara Islam, rakyat akan memerintah berlandaskan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Al-Maududi juga telah mengariskan tiga prinsip utama dalam sesebuah negara Islam iaitu tidak ada orang, golongan atau kumpulan bahawa seluruh penduduk yang menangi dalam sesebuah negara sekalipun, boleh mendakwa mempunyai kekuasaan dan kedaulatan. Hanya Allah pemilik kekuasaan dan kedaulatan yang sebenar semua yang lain adalah hambanya. Allah ialah pengubal undang-undang yang sebenar dan kuasa mutlak membuat undang-undang adalah miliknya. Orang-orang Islam tidak boleh membuat undang-undang yang bertentangan dan tidak boleh mengubah suai sebarang undang-undang yang ditetapkan oleh Allah, walaupun semua orang bersetuju mahu membuat undang-undang lain atau mengubah undang-undang Allah, dan sesebuah negara Islam mestilah diasaskan di atas hukum yang diwahyukan tuhan dalam segala sesi dan ruang lingkupnya. Kerajaan yang memerintah sesebuah negara Islam hanya boleh ditaati dalam tugasnya sebagai badan politik yang dibentuk untuk melaksanakan undang-undang Allah, sekiranya ia melanggar undang-undang yang diturunkan oleh Allah, perintahnya tidak wajib di taati oleh orang-orang Islam.

Prinsip-prinsip di atas jelas menunjukkan bahawa rakyat dalam sesebuah negara Islam hanyalah pelaksana kepada hukum-hukum yang telah ditentukan oleh Allah. Rakyat tidak ada alasan untuk tidak melaksanakan hukum Allah dan tidak ada alasan untuk memansuhkan hukum Allah. Ini adalah berbeza dengan demokrasi berat yang mengagungkan kekuasaan dan kedaulatan rakyat. Calon-calon demokrasi yang terpilih akan diberi mandat untuk membuat dan melaksanakan undang-undang di dalam sesebuah negara dan undang-undang itu pula perlulah selaras dengan kehendak rakyat. Di dalam demokrasi barat, apa jua undang-undang yang mendapat undian terbanyak dari kelompok majoriti perlulah dilaksanakan walaupun ia adalah satu perkara yang buruk dan lagi terkutuk. Misalnya tabiat minum arak. Walaupun arak membahayakan kesihatan namun sekiranya rakyat di negara itu menggemari arak, arak boleh dijual dan diminum tanpa batasan setelah usulnya diluluskan oleh parlimen.

Demokrasi barat juga berprinsip memisahkan agama jauh daripada politik harian yakni bersikap sekular sehingga menyebabkan rakyat kehilangan nilai-nilai moral dan etika di dalam membuat keputusan. Persaingan yang wujud dalam sistem kapitalisme menyebabkan rakyat hilang pertimbangan dan lebih mementingkan materialisme berbanding akhlak peribadi. Hal ini sangat mengalpakan mereka daripada membenarkan kebaikan yang hakiki. Sebaliknya di dalam sesebuah negara Islam prinsip agama dan perkara-perkara ghaib adalah amat dititikberatkan. Ini adalah disebabkan oleh semua negara Islam yang mengamalkan prinsip ketuhanan akan melaksanakan perintah dan hukum-hukum yang jelas dari Allah dan Rasul-Nya, tidak ada pemimpin Islam atau badan perundangan lain yang boleh membuat keputusan tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Al-Quran dan Sunnah.

Namun ini tidak bermakna bahawa sekatan-sekatan ini memperlihatkan bahawa Allah mengongkong kehidupan manusia daripada berkembang. Allah tidak pernah meletakkan tembok penghalang kepada kebebasan pemikiran dan intelektual manusia. Hak Allah membuat undang-undang bukanlah bermaksud untuk menyekat kebebasan manusia, sebaliknya adalah untuk memimpin pemikiran manusia yang jahil ini kepada keputusan yang menghampiri kepada syumul di dalam Islam.

Akhir sekali dalam menjelaskan perbandingan antara fahaman Islam dan demokrasi liberal ke atas rakyat ialah suara majoriti di dalam masyarakat Islam yang dibina atas tiang takwa dan keutamaan tidak dapat di hitung oleh batasan-batasan kebenaran dan pembaikan sosial. Ini adalah selaras dengan ayat Al-Quran surah al-Ashr ayat 2 dan 3 yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran."

Secara amnya, segala peraturan yang bergantung kepada pandangan majoriti ummat manusia semata-mata tidak akan membawa kebaikan untuk masa depan dan akan melemahkan ummah itu sendiri. Jadi Islam akan sentiasa membataskan kedaulatan rakyat berdasarkan peraturan dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

Rujukan: s6.zetaboards.com/DRAGONIZER/topic/760030/1/

No comments:

Post a Comment

Post a Comment